Search This Blog

Tuesday, June 12, 2018

Bagaimana Jika Najib Dipilih Semula Sebagai Presiden UMNO?


JOIN WEBINAR PAU 2018

Kebangkitan UMNO ditentukan oleh sikap perwakilan, bukan kerana pemimpin UMNO

Jika PRU14 disifatkan sebagai bapa kepada segala PRU, pemilihan UMNO 2018 / 2021 pula adalah ibu kepada kebangkitan UMNO setelah ia berjaya ditumbangkan sebagai kerajaan dengan rekod pemerintahan selama lebih daripada 60tahun.

Isu memilih pemimpin UMNO kali ini banyak dipengaruhi oleh faktor emosi yang menyelubungi sentimen akar umbi parti dalam membuat keputusan ekoran daripada sikap sebahagian besar mereka yang tidak dapat menerima hakikat bahawa UMNO telah kalah.

Secara praktikalnya UMNO masih belum berubah untuk menyesuaikan diri sebagai pembangkang apabila masih mempamerkan sikap yang sama dalam memilih pemimpin walaupun sedang berhadapan dengan isu defisit sokongan di peringkat pusat.

Sangat melucukan apabila UMNO masih meletakan kriteria calon yang dilihat berkarisma ala-ala menteri dan pembuat dasar.

Sikap terlampau optimis bahawa esok juga selepas pemilihan pemimpin UMNO yang baru maka UMNO mampu menjadi kerajaan adalah antara dorongan yang membentuk kecenderungan sikap tersebut terhadap para perwakilan UMNO.

UMNO harus sedar hakikat sebenar bahawa UMNO bukan sekadar kalah tetapi juga Barisan Nasional sedikit demi sedikit sudah mulai tumbang dan tidak relevan sebagai parti yang bergabung untuk membentuk kerajaan.

Satu persatu komponen Barisan Nasional meninggalkan parti dengan seribu satu alasan sama ada dengan alasan yang manis mahupun yang pahit namun hakikatnya mereka tetap meninggalkan Barisan Nasional.

Selain daripada UMNO harus menjadi pembangkang, UMNO juga harus membiasakan diri dengan kehilangan gelaran abang besar dalam politik kerana kini UMNO bersendirian.

UMNO harus menbentuk kerangka politik yang baru selain daripada bertujuan untuk menetapkan dasar-dasar politik baru juga bertujuan agar UMNO mampu mengekalkan statusnya sebagai parti politik yang masih relevan untuk dipertahankan.

Lupakanlah cerita lama bahawa UMNO hanya akan membentuk kerajaan jika UMNO bergabung dengan sokongan parti orang Cina dan parti orang India kerana pada hari ini telah terbukti bahawa perti-parti tersebut telah menolak UMNO.

UMNO juga perlu berhenti dibuai perasaan bangga hanya kerana UMNO adalah bilangan kerusi terbanyak dalam keputusan PRU14 yang lalu kerana sejarah tidak menipu bahawa sikap orang UMNO boleh berubah mengikut keperluan persekitaran politik demi survival politik individu.

Kebangkitan UMNO terlalu bergantung kepada pemilihan pemimpin UMNO kerana jika UMNO salah memilih pemimpin maka akan berkuburlah UMNO dan perjuanganya.

UMNO tidak ditolak secara individu, UMNO ditolak secara purata atas banyak faktor

Kini UMNO masih menuding jari sesama sendiri, menyalahkan satu sama  lain untuk dipertanggungjawabkan atas penolakan rakyat terhadap parti keramat itu.

Lebih malang lagi kali ini banyak pemimpin UMNO seperti Hishammuddin dan yang seangkatan denganya menarik hand brake, membuat kenyataan secara terbuka untuk tidak menyertai kepimpinan di peringkat tertinggi sebaliknya memilih untuk mengeram telur masing-masing di reban iaitu kawasan parlimen yang satu masa dahulu sering ditinggal-tinggalkan atas alasan menjawat jawatan sebagai menteri.

Faktor utama UMNO kalah adalah kerana UMNO lebih mengutamakan suara ketua iaitu Najib sebelum beliau dipecat berbanding suara rakyat yang bakal menentukan kedudukan UMNO sebagai kerajaan.

UMNO sangat degil, tidak mahu mendengar suara rakyat dan memaksa rakyat untuk menerima apa yang UMNO fikirkan betul.

Mungkin rakyat salah dan UMNO betul tetapi UMNO sepatutnya menyediakan sedikit ruang untuk bertolak ansur dengan kehendak rakyat.

Memenuhi kehendak rakyat adalah tugas UMNO, bukanya memaksakan kehendak UMNO kepada rakyat.

Faktor kedua UMNO kalah adalah kerana UMNO merajakan ketua iaitu pemimpin UMNO menyembah Najib, tidak ada seorangpun yang berani menyanggah dan menasihati Najib dengan ikhlas ketika di dalam parti.

Akibatnya Najib menjadi sangat berkuasa sehingga beliau boleh memecat sesiapa sahaja yang tidak sehaluan denganya.

Faktor ketiga UMNO kalah adalah kerana UMNO tidak sedar bahawa ia telah ditipu oleh komponen-komponen Barisan  Nasional yang telah lama menyampah dengan keegoan UMNO sebagai abang besar dalam kerajaan.

Komponen Barisan Nasional terutamanya yang di Semenanjung Malaysia tidak menyumbang banyak kepada parti tetapi mereka adalah batu penghalang terhadap penggabungan UMNO dengan kuasa politik Melayu lain yang tidak bersama Barisan Nasional.

Selain daripada enggan menerima PAS, UMNO juga tidak mahu ada persaingan parti Melayu dalam Barisan Nasional sehingga pernah menolak mentah-mentah idea menjadikan Perkasa sebagai satu lagi parti alternatif orang Melayu.

Politik Baru dan ciri-ciri pemimpin UMNO

Sebagai parti yang kalah, UMNO laparkan pemimpin yang boleh menjadi ketua pembangkang dan bukan pemimpin yang boleh menjadi ketua kerajaan.

UMNO perlukan seorang ketua yang bijaksana, yang melakukan perkara yang betul di tempat yang betul.

Pemimpin UMNO yang baru haruslah seorang yang mampu mempraktikan sikap diplomasi, bukanya seorang ekstrimis semata-mata atas alasan prinsip perjuangan UMNO.

Pengkhianatan dalam UMNO bukanlah perkara luar biasa, Mahathir juga asalnya adalah UMNO sebelum beliau mengkhianati UMNO ketika ini, Ku Li juga pernah mengkhianati UMNO apabila menubuhkan parti baru ketika berlaku krisis dalam UMNO, TS Shahrir juga pernah mengkhianati UMNO apabila melawan UMNO sebagai parti bebas.

UMNO perlukan seorang pemimpin yang setia, tanpa kesetiaan UMNO hanya akan menjadi parti kuda tunggangan kepentingan peribadi ketua yang menjadi pemimpin parti.

Pemimpin UMNO yang baru haruslah memahami strategi dan mampu melaksanakan politik baru untuk mengubah sikap ahlinya dan penerimaan rakyat terhadap UMNO.

Antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah seperti menerima PAS sebagai gabungan seandainya ia membolehkan UMNO menjadi kerajaan di masa akan datang tetapi dalam senario di mana UMNO sedia untuk berkompromi kedudukan iaitu mengamalkan giliran jawatan sebagai Perdana Menteri.

Akhir kata, pemimpin UMNO baru haruslah seorang yang kreatif dari segi politik dan mempunyai personaliti yang menjadi agen penyatuan sentimen orang Melayu.




0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Powered by Blogger.